Rabu, 8 Oktober 2008
  

Kosongkan Tadika Kemas: Rakyat Jangan Terpedaya

Jumaat, 14 Mac 2008 • Kategori: Kedah

ALOR STAR: KeADILan tidak pernah keluarkan arahan untuk mengosongkan Tadika Kemas dan dewan orang ramai setelah dipilih memerintah di negeri Kedah bersama PAS.

Pengarah Pilihanraya Kedah, Saiful Izham Ramli berkata, Badan Perhubungan KeADILan Negeri Kedah menyokong sepenuhnya pendirian Menteri Besar Kedah, Azizan Abdul Razak untuk kekalkan kedudukan Tadika Kemas dan dewan orang ramai di seluruh negeri.

“Kita menyokong penuh pendirian Menteri Besar, iaitu kedudukan Tadika Kemas dan dewan orang ramai di negeri ini dikekalkan. Kita tidak pernah memberi arahan agar Tadika Kemas dan dewan orang ramai dikosongkan,” kata Saiful dalam wawancara dengan Suara Keadilan pada 14 Mac lepas.

Akhir-akhir ini, KeADILan Kedah menerima aduan orang awam bahawa beberapa individu yang mendakwa mereka ahli KeADILan atau PAS meminta pihak Tadika Kemas dan dewan orang ramai agar mengosongkan tempat tersebut dan menyerahkan kunci kepada mereka.

Dewan-dewan orang ramai di seluruh Malaysia selalu digunakan oleh Umno untuk menjalankan program-program politik mereka sendiri.

“KeADILan Kedah meminta sesiapa yang didatangi orang-orang sedemikian agar mengambil butir-butir orang sedemikian, termasuk nama dan cara perhubungan mereka, dan membuat laporan polis serta-merta,” kata Saiful lagi.

“Kita juga menyeru mereka agar menyerahkan laporan polis itu kepada KeADILan. Kita akan mengambil tindakan tegas ke atas kes-kes sebegini,” tambah Saiful.

Saiful percaya perbuatan demikian merupakan angkara anasir-anasir bermotif jahat untuk menimbulkan kekecohan dan menegangkan keadaan, serta memburukkan imej dan nama baik parti, memandangkan PAS dan KeADILan berjaya diberikan mandat untuk menerajui Kerajaan Negeri Kedah dalam pilihanraya umum ke-12 baru-baru ini.

“Mereka ingin menghubungkaitkan KeADILan dengan golongan-golongan yang ingin membangkitkan kekacauan di kalangan rakyat. Kita ingin menyeru agar rakyat jangan terpedaya, kerana KeADILan negeri tidak pernah mengeluarkan arahan sedemikian,” tegas Saiful.

Berikan Pendapat Anda

Jika anda ingin menyuarakan sebarang komen, aduan, cadangan, pendapat, rencana atau sebagainya, sila hantarkan e-mel kepada kami. Sertakan bersama nama, nama pena, alamat, no. kad pengenalan, dan no. telefon (maklumat anda adalah rahsia dan tidak akan disiarkan).

Artikel yang diterima dan dikemaskinikan akan dipaparkan didalam kolum Forum Pembaca.