Jumaat, 22 Ogos 2008
  

KeADILan Perlis yakin tawan 1 Parlimen, 3 Dun

Ahad, 2 Mac 2008 • Kategori: Perlis, Pilihanraya 2008

PADANG BESAR, 1 MAC: KeADILan Negeri Perlis yakin akan mampu menawan kesemua kerusi yang ditandinginya di negeri ini dalam pilihanraya 8 Mac ini. KeADILan bertanding di kerusi Parlimen Kangar dan kerusi Dun Titi Tinggi, Beseri dan Indera Kayangan.

Menurut Setiausaha Perhubungan KeADILan Perlis, Asrul Nizam Abd Jalil, keyakinan itu disandarkan kepada sokongan dan mood rakyat ketika ini yang sangat berpihak kepada parti pembangkang disebabkan rakyat tertekan dengan kenaikan kos hidup yang gagal dikawal oleh BN serta rakyat sudah semakin muak dengan perpecahan BN Perlis.

Perpecahan dalam BN Perlis menjadi barah apabila Setiausaha Agong Umno Radzi Sheikh Ahmad mencadangkan secara terbuka pada tahun lepas supaya jawatan MB yang dipegang oleh Shahidan digantikan kepada orang lain. Perpecahan tersebut terus menular dalam edah kempen pilihanraya ini.

“Kita akan memenangi sokongan rakyat di atas faktor harapan baru rakyat supaya Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memimpin Malaysia selepas ini setelah rakyat melihat kegagalan parti pemerintah dalam menstabilkan harga barang keperluan rakyat ekoran kenaikan harga bahan bakar serta kedudukan ekonomi negara yang semakin merudum. Rakyat sudah hilang kepercayaan kepada Abdulah Badawi,” kata Asrul.

Dalam tinjauan umum yang dibuat di Dun Titi Tinggi yang ditandingi oleh Timbalan Pengerusi Perhubungan KeADILan Perlis, Keria Senawi mendapati rata-rata masyarakat di Dun ini akan membuat perubahan dengan memberi harapan baru agar Keria mewakili suara mereka dalam Dewan Undangan Negeri selepas pilihanraya ini.

Nor Azmir Ramli dari Felda Rimba Mas di Dun ini menaruh harapan tinggi supaya Keria yang lebih dikenali oleh penduduk di sini sebagai Pak Ya akan memenangi kerusi Dun ini.

Antara misi Keria untuk rakyat di Dun ini ialah memperjuangkan supaya masalah hak milik tanah penduduk Titi Tinggi termasuk di rancangan Felda diselesaikan oleh kerajaan di samping memperjuangkan pembangunan yang seimbang untuk kawasan Dun ini dan pelan pembangunan khas Titi Tinggi sesuai dengan kedudukannya di sempadan negara yang akan melimpahkan nikmat ekonomi kepada penduduk tempatan.

“Hasrat kita untuk menjadi perantara di antara rakyat dan kerajaan akan dikotakan dengan sebaik mungkin, berilah kami peluang untuk membuktikan bahawa kami mampu untuk menyuarakan dan memperjuangkan serta mengorbankan diri untuk kepentingan rakyat Titi Tinggi tanpa mengira latar belakang agama, bangsa, anutan politik atau kedudukan mereka,” kata Keria.

Berikan Pendapat Anda

Jika anda ingin menyuarakan sebarang komen, aduan, cadangan, pendapat, rencana atau sebagainya, sila hantarkan e-mel kepada kami. Sertakan bersama nama, nama pena, alamat, no. kad pengenalan, dan no. telefon (maklumat anda adalah rahsia dan tidak akan disiarkan).

Artikel yang diterima dan dikemaskinikan akan dipaparkan didalam kolum Forum Pembaca.