Siasatan BPR terhadap Ketua Polis, Peguam Negara diragui
Selasa, 8 Julai 2008 • Kategori: Berita Semasa, ParlimenParlimen, 7 Julai (SK) – Siasatan Badan Pencegah Rasuah (BPR) yang bakal dilakukan terhadap Ketua Polis Negara, Musa Hasan dan Peguam Negara, Ghani Patail sebagaimana yang diputuskan kerajaan diragui Pakatan Rakyat dan rakyat di negara ini.
Perkara ini timbul berikutan wujudnya ‘konflik kepentingan’ antara badan itu dengan individu terlibat yang dilihat dengan siasatan itu. Isu ini dibangkitkan Mohd Yusmadi Mohd Yusoff (KeADILan-Balik Pulau) dalam sesi soal jawab lisan.
Menurutnya, seperkara yang mungkin mempengaruhi hasil siasatan itu adalah tiadanya kuasa pendakwaan bagi BPR sedangkan individu yang hendak disiasat badan itu terlibat dengan institusi yang mempunyai kuasa melakukan pendakwaan. Oleh itu ada kemungkinan berlaku ‘konflik kepentingan’ di sini.
Berikutan itu, Pakatan Rakyat mendesak agar diwujudkan satu suruhanjaya siasatan khas bagi menyiasat kedua individu tersebut bagi mengelakkan berlakunya konflik kepentingan itu.
Dalam jawapan kepada soalan berkenaan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nazri Aziz cuba menafikan kewujudan konflik kepentingan itu memandangkan pihak yang mempunyai kuasa pendakwaan itu bukanlah dilihat dari segi individu tetapi dari segi institusi.
Namun begitu, dalam nada yang separuh yakin, beliau mengakui bahawa mungkin akan berlaku konflik kepentingan itu dan percaya tindakan menubuhkan suruhanjaya itu akan dilakukan jika ia diperlukan kelak.
Berikan Pendapat Anda
SMS
RSS
