KeADILan kecam tindakan halang seminar Majlis Peguam
Sabtu, 9 Ogos 2008 • Kategori: Berita Semasa, Kenyataan, Nasional, PusatPagi ini satu tunjuk perasaan kecil diadakan untuk membantah Seminar anjuran Majlis Peguam mengenai isu “memasuki Islam”. Tidak sampai 500 orang hadir walupun sebelumnya diwar-warkan 10,000 ribu orang akan menyertai demonstrasi tersebut.
Parti Keadilan Rakyat (keADILan) sangat kesal bahawa pasukan polis gagal mengawal keadaan, bahkan kelihatan seperti bersekongkol dengan sesetengah penunjuk perasaan yang mencerobohi masuk ke tempat seminar dan cuba memaksa ia diberhentikan. Keadaan ini mengingatkan peristiwa APCET beberapa tahun lalu manakala ahli-ahli Umno-Bn menceroboh masuk untuk menyuraikan seminar Timur-Timur waktu itu.
Kami memandang berat tindakan segelintir orang yang bertindak kasar dan mengeluarkan kata-kata kesat serta biadap terhadap beberapa orang penganjur serta peserta Seminar itu. Apatah lagi apabila salah seorang dari mereka yang paling “garang” diketahui sebagai seorang peguam serta ahli parlimen pula, dan mendakwa dirinya sebagai “wakil orang Islam”.
keADILan menyokong penuh pandangan Ketua Umum Sdr Anwar Ibrahim, bahwa sepatutnya seminar anjuran Majlis Peguam itu diadakan secara tertutup, memandangkan reaksi sensitif dan persepsi salah dari sesetengah kalangan orang Melayu-Islam. Kami bersetuju diadakan majlis antara-agama yang boleh memupuk persefahaman daripada seminar sebelah pihak yang boleh menimbulkan perpecahan kaum dan agama.
Kami menentang golongan segelintir pemimpin Umno yang mengugut pihak penganjur seminar dengan bermacam-macam cara, termasuk menggunakan ISA supaya membatalkan seminar tersebut. Mereka tidak menghormati hak asasi untuk mengemukakan pendapat dan mengorganais seperti yang dijamin oleh Perlembagaan. Sebenarnya sesetengah dari mereka ini dengan sengaja mahu menimbulkan ketegangan bahkan kekacauan kaum/agama yang boleh digunakan untuk kepentingan Umno dan kerajaan pimpinannya.
Akan tetapi sebaliknya, lebih baik pihak Majlis Peguam tidak membenarkan diri terperangkap dengan rancangan kotor Umno ini. Ia sepatutnya bertindak bijak dengan segera mengumumkan seminar diadakan secara tertutup untuk menghindar sebarang kesan buruk ke atas hubungan kaum dan agama di negara ini. Majlis Peguam sudah tentu mengetahui betapa perlunya memastikan agenda anasir-anasir tidak bertanggungjawah yang hendak menimbulkan ketegangan dan perpecahan kaum itu gagal.
Dr Syed Husin Ali
Timbalan Presiden keADILan
Parti Keadilan Rakyat
Berikan Pendapat Anda
SMS
RSS
