Jumaat, 22 Ogos 2008
  

MTUC Serah Memorandum Tuntut Gaji Minima

Rabu, 7 Mei 2008 • Kategori: Ekonomi

KUALA LUMPUR, 7 Mei (SK) - Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menyerahkan memorandum Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi menggesa kerajaan Malaysia melaksanakan pelan gaji minima dengan segera.

Delegasi 50 orang ahli MTUC diketuai oleh Presiden Syed Shahir Syed Mohamud dan Setiausaha Agung G Rajasekaran menyerahkan tuntutan gaji minima kepada Menteri Sumber Manusia Noraini Ahmad di Parlimen.

Memoranda tuntutan itu menggesa kerajaan Malaysia melaksanakan pelan gaji minima RM900 dan elaun kos hidup (COLA) RM300 seperti yang dipohon kongres kesatuan terbesar di Malaysia sejak 1949 lagi.

Kali pertama memorandum sebegitu diserahkan kepada kerajaan adalah pada 18 Jun 2007 namun ia tidak diendahkan kerajaan. MTUC menegaskan bahawa perlaksanaan gaji minima adalah perlu memandangkan garis kadar kemiskinan yang pada paras sekitar RM675 tidak berubah sejak 15 tahun yang lalu.

Ketika ditemui Suara Keadilan, Syed Shahir berkata kos kehidupan rakyat semakin meningkat berbanding kenaikan gaji pekerja swasta yang kekal di paras yang sama.

Tegas beliau lagi, MTUC memandang serius kenyataan Perdana Menteri Abdullah yang menegaskan kerajaan tidak akan melayan tuntutan kongres kesatuan sekerja terbesar itu.

Di dalam Parlimen, Syed Shahir turut menyerahkan memorandum tersebut kepada Ketua Pembangkang Dr Wan Azizah Wan Ismail. Beliau turut mengadakan mesyuarat bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nazri Aziz di tingkat Sembilan Parlimen membincangkan perkara tersebut.

Selain dari tuntutan gaji minima itu, MTUC turut fokus kepada pindaan Akta Perhubungan Perusahaan dan Akta Kesatuan Sekerja khusus kepada penambahbaikan hal ehwal kebajikan pekerja.

Kerajaan, kata Syed Shahir, harus prihatin kepada nasib pekerja swasta yang membentuk hampir 10 juta tenaga kerja di negara ini.

Berikan Pendapat Anda

Jika anda ingin menyuarakan sebarang komen, aduan, cadangan, pendapat, rencana atau sebagainya, sila hantarkan e-mel kepada kami. Sertakan bersama nama, nama pena, alamat, no. kad pengenalan, dan no. telefon (maklumat anda adalah rahsia dan tidak akan disiarkan).

Artikel yang diterima dan dikemaskinikan akan dipaparkan didalam kolum Forum Pembaca.