Rabu, 8 Oktober 2008
  

AMK Gesa Kerajaan Serius Tangani Isu Beras

Selasa, 6 Mei 2008 • Kategori: Ekonomi, Nasional

KUALA LUMPUR, 6 MEI (SK) - Angkatan Muda Keadilan (AMK) menggesa kerajaan lebih serius tangani isu kenaikan harga beras sebelum ia menjadi tidak terkawal, tegas kenyataan akhbar AMK hari ini.

Menurut Exco AMK, Hasmuzair Hassan, kerajaan dilihat cuba mengalihkan perhatian rakyat dengan dakwaan dakwaan bekalan beras negara diparas mencukupi, selain harga beras negara lebih murah berbanding negara-negara lain.

“Isu yang dihadapi pengguna adalah isu kenaikan harga beras, bukan isu kekurangan bekalan beras,” kata Hasmauzair.

Awal Julai lalu, Padiberas Nasional Berhad (Bernas) telah mengumumkan kenaikan harga beras, namun kenaikan tersebut telah dibatalkan oleh kerajaan dengan alasan Bernas perlu meminta keizinan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bagi sebarang kenaikan harga beras untuk semua kategori.

Mengulas isu ini, AMK berkata selepas PRU-12, kenaikan tersebut terus berlaku tanpa dapat dikawal kerajaan.

“AMK menggesa kerajaan terus mengawal kenaikan harga beras di dalam negara seperti yang dilakukannya sebelum Pilihanraya Umum ke 12 (PRU-12) yang lalu,” tegas Hasmuzair.

Bernas yang menggantikan Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) melalui Dasar Penswastaan Negara pada 1994 diberi pertanggungjawaban bagi memastikan keperluan beras negara mencukupi.

“Sebagai syarikat tunggal yang diberi lesen untuk mengimport beras ke negara ini, Bernas seharusnya sudah dapat menjangka keadaan pasaran beras dunia di masa hadapan, seterusnya dapat menjangka krisis bekalan dan harga yang akan dihadapi, serta mengambil langkah-langkah proaktif dalam menghadapi krisis tersebut,” kata kenyataan AMK lagi.

AMK turut menggesa Bernas menunaikan tanggungjawab korporatnya dengan memastikan harga beras di dalam negara dapat berada di tahap yang kompetitif sebagai balasan penguasaan pasaran beras import di negara ini.

Berikan Pendapat Anda

Jika anda ingin menyuarakan sebarang komen, aduan, cadangan, pendapat, rencana atau sebagainya, sila hantarkan e-mel kepada kami. Sertakan bersama nama, nama pena, alamat, no. kad pengenalan, dan no. telefon (maklumat anda adalah rahsia dan tidak akan disiarkan).

Artikel yang diterima dan dikemaskinikan akan dipaparkan didalam kolum Forum Pembaca.