Rabu, 8 Oktober 2008
  

Suara Keadilan Mohon Terbit Dua Kali Seminggu

Rabu, 25 Jun 2008 • Kategori: Nasional, Pusat

Kenyataan Media
25 Jun 2008

Suara Keadilan Mohon Terbit Dua Kali Seminggu

Lidah rasmi Parti Keadilan Rakyat, Suara Keadilan akan mengemukakan permohonan untuk penerbitan dua kali seminggu dalam masa terdekat agar maklumat parti dapat disebarkan dengan lebih meluas dan pantas.

Keputusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) meluluskan permohonan akhbar rasmi PAS, Harakah seharusnya konsisten dan berlaku adil terhadap semua akhbar parti, termasuk Suara Keadilan yang kini mempunyai edaran sebanyak 100,000 naskhah.

Suara Keadilan yang diluluskan permitnya oleh KDN pada 20 April lalu telah menyaksikan peningkatan yang mendadak dalam edarannya dalam dua bulan ini.

Pencapaian ini menggambarkan permintaan yang tinggi terhadap berita berkenaan perjuangan Parti dan kepimpinan Anwar Ibrahim, khususnya di kawasan luar bandar hasil daripada penambahan pengedar dan penjual akhbar ekoran kelulusan permit.

Maka dengan perkembangan politik yang baru selepas Pilihanraya Umum ke-12, di mana Pakatan Rakyat menguasai lima buah negeri dan bertambahnya pengaruh Pembangkang dalam Dewan Rakyat, adalah perlu Suara Keadilan menambahkan kekerapan penerbitannya, di samping menyaji berita dan analisa yang menyeluruh dan berkualiti.

Lidah rasmi KeADILan mula diterbitkan sejak Jun 2005 dengan dua minggu sekali. Permohonan permit telahpun dikemukakan kepada KDN ketika itu namun tidak mendapat sebarang jawapan selama tiga tahun. Berpuluh-puluh surat pertanyaan telah dihantar ke KDN dan satu memorandum telah diserahkan kepada Suhakam, namun masih terdapat ramai pengedar diintimidasi dan beribu-ribu nashkah Suara Keadilan dirampas oleh KDN  kerana status permit yang tidak jelas selama ini.

TIAN CHUA
Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat
Ahli Parlimen Batu, WP

Berikan Pendapat Anda

Jika anda ingin menyuarakan sebarang komen, aduan, cadangan, pendapat, rencana atau sebagainya, sila hantarkan e-mel kepada kami. Sertakan bersama nama, nama pena, alamat, no. kad pengenalan, dan no. telefon (maklumat anda adalah rahsia dan tidak akan disiarkan).

Artikel yang diterima dan dikemaskinikan akan dipaparkan didalam kolum Forum Pembaca.