KEMASKINI: Terima Anugerah Kebesaran Pulau Pinang; Datin Sri Wan Azizah kini bergelar Dato’ Sri
Isnin, 14 Julai 2008 • Kategori: Berita Negeri, Berita Semasa, Berita Utama, Nasional, Politik, Pulau Pinang, Rencana
Sumbangan dan ketokohan Presiden KeADILan Dr Wan Azizah Wan Ismail diabadikan dalam sejarah negara apabila beliau dikurniakan darjah kebesaran Pulau Pinang: Darjah Utama Pangkuan Negeri sempena Ulangtahun Yang Dipertuan Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas.

Di rasmikan dalam suatu majlis sambutan ulangtahun pada Sabtu 12 Julai, anugerah yang dikurniakan kepada Dr Wan Azizah Wan Ismail itu membawa gelaran Dato’ Sri.
Dr Wan Azizah Wan Ismail, isteri kepada mantan Timbalan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, menjadi ikon gerakan reformasi selepas suaminya dipecat dan dihukum atas tuduhan rasuah dan sodomi pada 1998. Mengepalai jutaan rakyat menuntut reformasi di seluruh negara, Dr Wan Azizah Wan Ismail diangkat sebagai Presiden Parti Keadilan Nasional (Adil) yang ditubuhkan pada 1999, dan seterusnya Parti KeADILan Rakyat pada 2002.
Srikandi Rakyat
Dilahirkan pada 1952, Dr Wan Azizah menerima pendidikan awal beliau di Sekolah Convent St. Nicholas, Alor Star, Kedah. Datuknya berketurunan Baba dari Melaka manakala ibunya dibesarkan di Singapura.
Selepas Alor Star, beliau melanjutkan pendidikan di institusi pendidikan berprestif, Kolej Tunku Kurshiah di Seremban, Negeri Sembilan, dimana beliau merangkul anugerah terbaik untuk Biologi.
Dari situ, beliau meneruskan pengajian dalam bidang Perubatan di Royal College of Surgeons di Dublin, Ireland.
Pada 1978, Dr Wan Azizah kembali ke Malaysia. Ketika beliau berkhidmat di Universiti Hospital Kuala Lumpur (kini Pusat Perubatan Universiti Malaya), salah seorang kawan Anwar Ibrahim memperkenalkan Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) kepada beliau.
Mereka berkahwin pada 1980 dan dikurniakan enam cahaya mata - Nurul Izzah, Nurul Nuha, Mohd Ihsan, Nurul Ilham, Nurul Iman dan Nurul Hana.
Ketika Anwar menyertai Umno pada 1982, dan menaiki tangga politik dengan pantas sekali, Dr Wan Azizah bekerja sebagai seorang ophthalmologist di Hospital Kuala Lumpur.
Reformasi 1998
1998 merupakan tahun paling mencabar buat Dr Wan Azizah. Beliau tidak dapat melupakan malam keluarganya berhadapan komando-komando polis bertopeng dan bersenjata sub-mesingan yang menyerbu masuk ke kediamannya dan membawa suaminya untuk ditahan, dimalukan, dan dipukul hingga separuh mati.
Bermula dari saat itu, rakyat menolak beliau kehadapan, meletakkan harapan meraka kepadanya untuk membawa arus perubahan dan menghadapi seluruh kekuatan kerajaan Dr Mahathir Mohamad.
Dibahunya dibebankan seribu macam dugaan. Dalam mengharungi arus politik, Dr Wan Azizah bangun seawal 4 pagi untuk bersolat, mencari petunjuk dan merayu kekuatan dari Ilahi.
Dr Wan Azizah Pilihan Rakyat

Dalam Pilihanraya Umum 1999, Dr Wan Azizah memenangi kerusi Parlimen Permatang Pauh. Beliau bertahan dan berjaya mengekalkan kerusi Permatang Pauh dalam PRU 2004, ketika teman-teman seperjuangannya rebah satu-persatu disapu kebangkitan politik Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi.
Keseorangan, beliau terus cekal membawa suara rakyat bersama-sama rakan-rakan politik dari Pas dan DAP.
Pada PRU12 yang lalu, Dr Wan Azizah sekali lagi membuktikan bahawa hasrat BN merampas Permatang Pauh dari tangannya adalah angan-angan semata-mata. Beliau mengekalkan kerusi Parlimen itu, bahkan menambahkan majoriti undi dari 590 kepada 13,388 undi.
Dr Wan Azizah Wan Ismail - tokoh, profesional, ibu dan isteri - diberi penghormatan oleh rakan-rakan anu Ketua Pembangkang di Parlimen. Perlantikan beliau melakar satu lagi sejarah, menjadikannya wanita pertama dilantik Ketua Pembangkang di negara ini.
Sebagai Ketua Pembangkang, keutamaan Dr Wan Azizah pada lima perkara: Pertama, memacu ekonomi negara dengan membasmi rasuah dan pembaziran. Kedua, mengalun semula keharmonian antara kaum. Ketiga, memantapkan badan kehakiman. Keempat, memupuk media yang adil dan bebas. Kelima, mendaulatkan hak asasi manusia.
Warga Editorial Suara Keadilan mengucapkan tahniah kepada Dr Wan Azizah Wan Ismail. Moga Allah memberi ketabahan dan kekuatan kepada beliau mengharungi ombak badai politik mutakhir ini.

(Nota : Video penerimaan anugerah boleh dilihat di sini - http://www.youtube.com/watch?v=H8TqryxWsOI )
Berikan Pendapat Anda
SMS
RSS
