Jumaat, 22 Ogos 2008
  

Desakan ahli parlimen Pakatan Rakyat, akhirnya speaker benarkan wartawan bertugas

Rabu, 25 Jun 2008 • Kategori: Parlimen

PARLIMEN, 25 Jun (SK) – Tidak sampai sehari setelah Ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat mendesak dan membantah tindakan Speaker dan Timbalan Speaker membina kepungan mengasingkan wartawan dan pengamal media di satu sudut (tempat sidang media yang sempit) di Parlimen, akhirnya Speaker dan timbalannya akur dan tunduk terhadap desakan tersebut.

Kepungan yang dibina dengan tali khas berserta tiang bagi memisahkan para wartawan dengan ‘ruang bebas’ di parlimen akhirnya ‘diruntuhkan’ kemudiannya. Perubahan keputusan ini dibuat setelah bantahan yang dilakukan pihak media secara simbolik dengan meletakkan kamera mereka di sebelah luar kepungan berkenaan.

Semalam, Tian Chua (KeADILan-Batu) ketika ditemui para wartawan menyifatkan bahawa tindakan yang dibuat Parlimen ini adalah satu tindakan bodoh.

“Kita membantah tindakan ini yang dilihat bertujuan menghalang pihak wartawan membuat liputan media di Parlimen, sebaiknya media memboikot sahaja laporan Parlimen berikutan tindakan ini,” kata Tian Chua yang juga merupakan Ketua Penerangan KeADILan.

Pada awal sebelum sesi soal jawab, Lim Guan Eng (DAP-Bagan) turut membantah tindakan tersebut begitu juga Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) yang menyatakan rasa kesal mengenai tindakan itu dan meminta perintah tersebut ditarik semula Parlimen.

Berikan Pendapat Anda

Jika anda ingin menyuarakan sebarang komen, aduan, cadangan, pendapat, rencana atau sebagainya, sila hantarkan e-mel kepada kami. Sertakan bersama nama, nama pena, alamat, no. kad pengenalan, dan no. telefon (maklumat anda adalah rahsia dan tidak akan disiarkan).

Artikel yang diterima dan dikemaskinikan akan dipaparkan didalam kolum Forum Pembaca.