Speaker tolak usul bentang siasatan VK Lingam di Parlimen
Rabu, 14 Mei 2008 • Kategori: Berita Semasa, Berita Utama, ParlimenKEMASKINI 3.20 PETANG PARLIMEN, 14 Mei (SK)- Speaker Dewan Rakyat, Pandikar Amin Mulia, hari ini menolak usul membentang laporan siasatan rasuah keatas skandal VK Lingam di Parlimen.
Usul Ketua Pembangkang Dr Wan Azizah Wan Ismail (KeADILan-Permatang Pauh) itu ditolak atas alasan bagi membuka ruang kepada soalan dari Ahli Parlimen Ipoh Barat M Kulasegaran.
“Keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat menolak usul tergempar tersebut amat mengecewakan, malah alasan yang dikemukakan jelas memperlihatkan cubaan kerajaan BN menutup perkara ini dari dibahaskan di Parlimen,” kata MP Permatang Pauh.
Speaker Pandikar Amin Mulia menolak usul tergempar itu atas budi-bicaranya atas alasan tidak lebih dari satu usul boleh dibawa pada satu hari persidangan mesyuarat. Alasan Pandikar itu bagaimana disanggah Dr Wan Azizah.
Semalam, Presiden KeADILan itu menuntut kerajaan membentangkan hasil siasatan VK Lingam berikutan beberapa penemuan penting Suruhanjaya Siasatan Diraja dalam laporan itu.
Media perdana melaporkan Suruhanjaya Siasatan DiRaja mengesahkan sedutan video tiu adalah sahih manakala suspek yang dihubungi VK Lingam sememangnya bekas Ketua Hakim Negara Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim.
Suruhanjaya itu juga turut mengesan bukti kuat salahlaku membabitkan pegawai-pegawai kanan kerajaan yang dikenalpasti dalam klip video itu, dan mengesyorkan tindakan diambil keatas mereka.
Demikian itu, Dr Wan Azizah memberikan notis usul tergempar kepada Pandikar supaya laporan tersebut didedahkan kepada orang awam.
“Kami berpendirian sekiranya kerajaan BN bersungguh-sungguh ingin memulihkan integriti sistem kehakiman negara, Yang Dipertua sewajarnya menangguhkan usul penting itu kepada keesokan hari, dan bukan ditolak mentah-mentah dalam kamar,” jawab Dr Wan Azizah.
“Usul tersebut perlu dibahaskan segera memandangkan Jemaah Menteri akan memutuskan samada laporan itu akan didedahkan kepada pengetahuan umum atau tidak pada Jumaat ini (16 Mei).”
Sebelum ini, pada 9 Mei lalu, Perdana Menteri, Abdullah Badawi berkata, beliau harus meneliti laporan itu terlebih dahulu sebelum mengambil keputusan samaada untuk mendedahkan laporan itu atau tidak.
Berikan Pendapat Anda
SMS
RSS
