Dewan Kecoh, Menteri berniat jahat menuduh Pakatan Rakyat ‘Champion’ politik perkauman
Khamis, 26 Jun 2008 • Kategori: Berita Utama, ParlimenParlimen 26 Jun (SK) – Tuduhan Menteri Pembangunan Awam dan Koperasi, Noh Omar terhadap Pakatan Rakyat sebagai pihak yang ingin menjadi hero kepada golongan bukan bumiputera adalah satu tunduhan yang melampau dan tidak berasas.
Kenyataan Noh itu buat ketika menjawab soalan tambahan yang dikemukakan Dr Siti Mariah Mahmud (PAS-Kota Raja) yang meminta menteri berkenaan menjelaskan jumlah peruntukan bagi membiayai latihan dan pinjaman program usahawan kementerian berkenaan kepada golongan bukan bumiputera khususnya kaum India.
Noh berkata dalam sindirannya “Biasanya isu bukan bumiputera ini dijuarai oleh YB Ipoh Timur, tapi kali ini seolah-olah Kota Raja ingin menjadi ‘hero’ untuk membela golongan ini”.
Selepas menjawab soalannya, Noh sempat menyindir “Daripada jawapan saya beri tadi, Dato’ Yang di Pertua, jelas menunjukkan bahawa kerajaan Barisan Nasional ialah kerajaan yang sentiasa memperjuangkan hak setiap rakyat Malaysia” katanya sebagai menafikan peranan Pakatan Rakyat dalam perkara itu.
“Jadi kalau ada gaduh, dakwaan yang mengatakan kita tidak membela nasib bukan bumiputera ini ialah hanya isu-isu politik murahan yang hari ini dibawa oleh pembangkang” kritik Nah lagi sambil disahut serentak dengan sokongan ahli parlimen BN dan suara bantahan daripada ahli parlimen Pakatan Rakyat.
Lantaran tindakan Noh itu telah mencetuskan lanjutan kekecohan di dalam dewan setelah Khalid Samad (PAS-Shah Alam) mengemukakan ‘point of order’ 36 (12) dengan menyatakan tuduhan Noh tersebut sebagai menyeleweng daripada fakta yang sepatutnya serta berniat jahat.
Tegas Khalid, “Itu satu kenyataan yang tidak bertanggung jawab kerana yang jelas pembangkang tidak membawa isu perkauman seperti BN dan Umno yang memperjuangkan kaum.
“Saya minta YB tarik balik tuduhan tadi,” gesa beliau lagi.
Dewan bertambah panas setelah Noh kembali bangun membacakan peraturan mesyuarat 36 (6) yang mendakwa kenyataan Khalid itu mempunyai unsur dan berniat jahat.
Dewan kembali tenang setelah Timbalan Speaker, Ronald Kiandee meminta kedua-dua pemimpin berkenaan duduk bertenang dan memanggil Manogaran a/l Marimuthu mengemukakan soalan berikutnya.
Berikan Pendapat Anda
SMS
RSS
