JAM 2 PTG: 7000 orang di Stadium MBPJ setakat ini; Kuala Lumpur dilanda Wabak Merah; Polis beri kerjasama

Ahad, 6 Julai 2008 • Kategori: Berita Semasa, Berita Utama, Kuala Lumpur, Nasional, Pilihanraya 2008, Selangor & Putrajaya

Dari 2000 orang pada jam 9 pagi tadi, jumlah perserta Protes Sejuta Rakyat telah bertambah secara mendadak kepada 7000 orang ketika berita ini dikemaskini jam 2 petang. Situasi di Stadium MBPJ Kelana Jaya tenang dengan kerjasama baik dari pihak berkuasa.

Desas-desus mengatakan askar akan dikerah tidak terbukti setakat ini.

Protes Sejuta Rakyat anjuran Gabungan MemPROTES Kenaikan Harga Minyak (Protes) menggemblengkan segenap warga Malaysia yang prihatin dan terkesan dengan tindakan kerajaan BN menaikkan harga minyak. Ia diadakan bermula jam 10 pagi hingga 12 malam dan menampilkan pelbagai aktiviti seperti taklimat umum, persembahan muzik dan seni.

Disebelah malam, Ketua Umum KeADILan Anwar Ibrahim, Menteri Besar dari lima negeri Pakatan Rakyat dan semua pucuk pimpinan Pakatan Rakyat dan aktivis veteran reformasi akan turun le Stadium MBPJ untuk bersama rakyat.

Protes adalah hasil kerjasama badan bukan kerajaan (NGO), gerakan sivil, KeADILan, Pas dan DAP. Protes kehadapan dalam mengadakan siri-siri perhimpunan aman membantah kenaikan minyak sejak 2006. Protes komited kepada Artikel 10 Perlembagaan yang menjamin kebebasan bersuara dan berhimpun di tempat awam. Protes menolak pendekatan ganas.

Kuala Lumpur dan Lebuhraya Persekutuan pagi ini lengang tidak seperti hari Ahad yang biasa di minggu-minggu lain

Polis mengadakan sekatan jalanraya di beberapa kawasan. Lalulintas menghadapi sedikit kesulitan di Gerbang Kuala Lumpur-Petaling Jaya, Damansara menuju Kelana Jaya, dan Kelana Jaya menuju Damansara.

Pada jam 9 pagi tadi, kelihatan van-van hitam bercermin gelap berbondong-bondong bergerak menuju kearah Petaling Jaya dari Kuala Lumpur. Balai Polis Brickfields juga kelihatan sibuk dengan kehadiran trak dan kenderaan polis yang lebih banyak dari kebiasaan.

Di Brickfields pula dan Plaza Beli-Belah Sungai Wang dan Plaza Bukit Bintang, keadaan ceria dengan wabak merah kelihatan dimana-mana. Orang-ramai berbaju merah terang dan merah gelap, Melayu, Cina, India, orang tua dan muda kelihatan di kedai-kedai dan gerai makan.

Berikan Pendapat Anda

Jika anda ingin menyuarakan sebarang komen, aduan, cadangan, pendapat, rencana atau sebagainya, sila hantarkan e-mel kepada kami. Sertakan bersama nama, nama pena, alamat, no. kad pengenalan, dan no. telefon (maklumat anda adalah rahsia dan tidak akan disiarkan).

Artikel yang diterima dan dikemaskinikan akan dipaparkan didalam kolum Forum Pembaca.