KEMASKINI: Speaker Tolak Usul Bahas Tidak Percaya: Pakatan Rakyat Keluar Dewan

Selasa, 15 Julai 2008 • Kategori: Berita Semasa, Berita Utama, Kuala Lumpur, Parlimen, Politik, Video

Parlimen 14 Julai menyaksikan kesemua wakil rakyat Pakatan Rakyat keluar dewan sebagai tanda protes kepada tindakan Speaker Parlimen, Pandikar Amin Mulia, menolak usul bahas tidak percaya terhadap Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi.

Dalam sidang akhbar mengejut yang diadakan sejurus selepas itu, Ketua Pembangkang Dr Wan Azizah Wan Ismail (KeADILan-Permatang Pauh) memberitahu beliau amat dukacita dengan cara usul tergempar itu ditangani oleh Speaker.

“Saya mahu tahu mengapa usul bahas tidak percaya itu ditolak. Ini adalah reaksi kerajaan kerana kita mahu membahaskan satu usul secara demokratik di Parlimen,” katanya.

“Pakatan Rakyat amat kecewa dan kami kesal ini terjadi. Adakah ini satu serangan? Mengapa mereka harus berbuat sedemikian? Speaker hanya memberi 30 minit untuk kita bercakap,” kata Dr Wan Azizah dan menambah, “kerana ini kita bertindak keluar. Mereka menghina suara rakyat yang kita bawa ke Dewan Rakyat,” tegas Presiden KeADILan itu.

Beliau juga berkata Pakatan Rakyat akan memboikot keseluruhan prosiding Dewan Rakyat bukan sahaja sebagai tanda bantahan kepada penolakan usul bahas itu, tetapi juga tindakan polis mengepung Parlimen dan menukarnya kepada “medan perang”.

Dalam kegemparan yang berlaku pada 14 Julai itu, usul bahas tidak percaya terhadap Abdullah itu ditolak Pandikar atas alasan isu itu telah dibahaskan bulan lalu.

Menurut Pandikar, usul bahas yang difailkan oleh Menteri Perdagangan Domestik & Hal Ehwal Pengguna Shahrir Abdul Samad pada 23 Jun lalu adalah usul tidak percaya.

Dr Wan Azizah Wan Ismail menyerahkan usul bahas tidak percaya ke tangan Pandikar di pejabatnya pada 10 Julai lalu, diiringi 14 ahli Parlimen Pakatan Rakyat.

Suara Rakyat Disekat

Sejurus sebelum Speaker mengarahkan Setiausaha Dewan Rakyat mengumumkan sidang beralih kepada perbahasan Penggal Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK9), Dr Wan Azizah bangun meminta Speaker mempertimbangkan semula keputusan menghalang usul bahas tidak percaya itu.

Pandikar bagaimanapun tidak melayan permintaan Pakatan Rakyat. Katanya, usul yang difailkan dibawah Peraturan 18(1) itu menggesa kepada satu resolusi, namun begitu kuasa resolusi tidak terletak dibawah peraturan 18(1).

Keputusan Speaker itu menyebabkan Dewan Rakyat menjadi riuh dengan wakil rakyat BN menghentak meja, menjerit dan mengajuk Pakatan Rakyat, disaksikan oleh media tempatan, antarabangsa dan delegasi Parlimen dari Singapura.

Ketika diminta memberi sebab kukuh kepada penolakan itu, Pandikar berkata, beliau selaku Speaker diberi kuasa muktamad bahkan tidak perlu memberi alasan lain kepada sesiapapun berhubung keputusan yang dibuat.

Selepas gagal merayu beberapa kali untuk membenarkan isu nasional ini dibahaskan, Dr Wan Azizah mengumumkan Pakatan Rakyat keluar dari Dewan Rakyat kerana tidak dibenarkan membawa suara rakyat ke Dewan yang mulia itu.

“Keluar! Keluar semua! Balik rumah lah,” ejek wakil rakyat BN semasa Pakatan Rakyat beredar melalui pintu keluar Dewan Rakyat.

BN Ketakutan

BN melepaskan nafas lega dengan keputusan Speaker menyekat debat usul tidak percaya itu. Ketika menyerahkan usul debat tidak percaya pada 10 Julai lalu, Dr Wan Azizah berkata rakyat menyokong penuh usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi.

Usul yang difailkan dibawah Peraturan 18(1) itu berbunyi:

“Bahawa Dewan yang mulia ini mengambil ketetapan tidak percaya terhadap kepimpinan YAB Perdana Menteri Malaysia dan jemaah menteri beliau dalam menjalankan urus tadbir negara disebabkan terhakisnya keyakinan rakyat terhadap integriti kerajaan.”. . .

Ditemui wartawan, Dr Wan Azizah berkata objektif usul itu bukanlah resolusi undi tidak percaya, sebaliknya ia usaha Pakatan Rakyat membawa keluhan dan suara rakyat terhadap kerajaan ke pemerhatian Parlimen.

Tambah beliau, Pakatan Rakyat tidak terkejut sekiranya Speaker menolak usul itu.

Keesokan harinya, dalam satu sidang akhbar 11 Julai lalu, Parti Progresif Sabah (SAPP) menyatakan sokongan penuh kepada usul tersebut. Presiden SAPP Yong Teck Lee memberi jaminan wakil rakyat Sabah bersama Pakatan Rakyat sekiranya resolusi dibuat di Parlimen pada diadakan di Parlimen.

Dari risikan Suara Keadilan, kesemua enam wakil rakyat SAPP hadir di Dewan Rakyat hari ini.

Berikan Pendapat Anda

Jika anda ingin menyuarakan sebarang komen, aduan, cadangan, pendapat, rencana atau sebagainya, sila hantarkan e-mel kepada kami. Sertakan bersama nama, nama pena, alamat, no. kad pengenalan, dan no. telefon (maklumat anda adalah rahsia dan tidak akan disiarkan).

Artikel yang diterima dan dikemaskinikan akan dipaparkan didalam kolum Forum Pembaca.