Jumaat, 21 November 2008

Pemusatan Ternakan Babi Lebih Baik - MB

Khamis, 24 Julai 2008 • Kategori: Berita Utama, Nasional, Selangor & Putrajaya

PETALING JAYA, 21 Julai - Pemusatan penternakan babi melalui projek berteknologi moden di Ladang Tumbuk, mukim Kuala Langat disifatkan Dato’ Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim lebih baik daripada keadaan yang ada kini.

Menurut beliau, projek ternakan berkenaan sudah dibincangkan sebelum kerajaan Pakatan Rakyat memerintah lagi.

“Kalaulah tujuan untuk hanya mengatakan tempat untuk menternak khinzir ini tidak sesuai , kita perlu memikirkan tak ada tempat dalam Selangor ini sesuai, tetapi dari segi pentadbirannya kita percaya salah satu tujuan yang terpenting ialah mengumpulkan ternakan khinzir ke satu tempat adalah lebih baik daripada keadaan yang ada sekarang,” katanya.

Sambil menafikan dakwaan yang ratusan ribu ekor babi dari Bukit Pelanduk, Negeri Sembilan dibawa ke Ladang Tumbuk, beliau berkata projek itu masih lagi di peringkat kajian.

Ditanya berhubung tindakan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang membantah pelaksanaan projek itu beliau berkata “mereka berhak membantah, tidak semestinya kita tidak dengar tetapi kita mencari satu resolusi,” ujarnya kepada media selepas merasmikan Bengkel Kebangsaan Bandar Raya Selesa Dihuni di Dewan Sivik, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pagi tadi.

Bengkel dua hari itu dihadiri lebih 300 peserta dalam dan luar negara antaranya dari Australia, Singapura, Brunei dan Thailand.

Abdul Khalid berkata bengkel berkenaan diharap dapat mencambah idea dalam menjadikan Petaling Jaya sebagai sebuah bandar raya berkelas dunia.

“Kita masih belum lagi mencapai tahap itu tetapi kita akan diberitahu bagaimana perancangan dan pelaksanaan boleh dilakukan dalam menjadikan bandar raya Petaling Jaya antara bandar raya yang selesa untuk dihuni,” katanya. - NOOR ALLIA KASSIM

Berikan Pendapat Anda

Jika anda ingin menyuarakan sebarang komen, aduan, cadangan, pendapat, rencana atau sebagainya, sila hantarkan e-mel kepada kami. Sertakan bersama nama, nama pena, alamat, no. kad pengenalan, dan no. telefon (maklumat anda adalah rahsia dan tidak akan disiarkan).

Artikel yang diterima dan dikemaskinikan akan dipaparkan didalam kolum Forum Pembaca.