Sumpah & DNA: UMNO-BN bankrap isu - AMK
Rabu, 20 Ogos 2008 • Kategori: Berita UtamaSumpah & DNA: UMNO-BN bankrap isu
Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) memandang serius beberapa perkembangan yang berlaku mutakhir ini, membabitkan sumpah laknat Saiful Bukhari Azlan dan usaha meluluskan Akta Identifikasi DNA di Parlimen oleh kerajaan Umno-BN.
AMK melihat gesaan yang dibuat oleh beberapa pihak ke atas Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk turut melakukan sumpah laknat sebagaimana yang dilakukan oleh Saiful Bukhari Azlan adalah gesaan yang tidak berasas sama sekali.
Gesaan yang dilakukan ke atas Dato’ Seri Anwar jelas sekali bersifat politik dan bermotifkan peribadi, dalam keadaan sumpah laknat itu sendiri tidak terpakai di dalam prosedur perundangan Islam. Pandangan tegas beberapa ulama’ dalam dan luar negara perlu dipandang serius, apabila sumpah laknat Saiful tidak menepati syariat dan membelakang prinsip perundangan Islam yang telus lagi adil.
Di saat Saiful terus dilindungi polis sehingga kini, bukan menjadi sesuatu yang sukar bagi rakyat untuk membaca percaturan politik sempit tajaan Umno-BN.
Tindakan kerajaan yang kelihatan tergesa-gesa membawa rang undang-undang Akta Identifikasi DNA ke Parlimen Isnin lepas juga jelas menggambarkan usaha terdesak mereka untuk melengkapkan konspirasi tempang ciptaan Umno-BN untuk menyekat kemaraan Dato’ Seri Anwar untuk memimpin rakyat Malaysia seusai 26 Ogos depan.
Jika benar Akta tersebut telah digubal semenjak tahun 2001 sebagaimana didakwa oleh Menteri Dalam Negeri dan Perdana Menteri sendiri, mengapa ia perlu mengambil masa hampir 8 tahun untuk digazetkan sebagai undang-undang?
AMK mencabar kerajaan untuk membariskan kes-kes jenayah yang menghadapi masalah untuk memperoleh sampel DNA sebelum kes liwat ciptaan Umno-BN ke atas Dato’ Seri Anwar ini ‘mengambil tempat’ pada 28 Jun 2008 lepas, bagi membuktikan Akta ini mempunyai kepentingan yang mendesak.
AMK akan terus mendepani jentera penerangan Pakatan Rakyat untuk menerangkan kepada rakyat apa yang terselindung di sebalik konspirasi tempang ciptaan Umno-BN ini, supaya kemenangan rakyat terus diperoleh pada 26 Ogos nanti.
Malaysia perlu dimerdekakan daripada politik sempit ciptaan Umno-BN!
Shamsul Iskandar Mohd Akin
Ketua
Angkatan Muda Keadilan Malaysia
Berikan Pendapat Anda
SMS
RSS
