Abdullah jangan jadi diktaktor, AMK desak Dewan Rakyat bersidang

Khamis, 18 September 2008 • Kategori: Angkatan Muda, Berita Semasa, Berita Utama, Nasional

KUALA LUMPUR, 18 SEPTEMBER (SK)- Perdana Menteri,Abdullah Badawi diingatkan agar tidak menyamakan kepentingan dan keselamatan politik beliau dengan kepentingan dan keselamatan negara.
 
Menurut Ketua Angkatan Muda KeADILan, Shamsul Iskandar Mohd Akin, dalam keadaan terdesak kini, dengan serangan dari dalaman Barisan Nasional sendiri dan pentadbiran kerajaan, Abdullah diingatkan supaya jangan bertindak secara ditaktor.

“Abdullah tidak boleh bertindak sebagai pemerintah kuku besi atau diktator yang cuba berpaut kepada kuasa sekalipun tidak lagi mempunyai mandat untuk memerintah,” kata Shamsul dalam satu kenyataan pagi ini.

Tambahya lagi, rakyat menolak sama sekali tindakan Abdullah untuk menyelamatkan diri dengan mengisytiharkan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim sebagai ancaman kepada ekonomi dan keselamatan negara.

Semalam dalam satu sidang media di Putrajaya Abdullah menuduh Anwar membawa ancaman kepada ekonomi dan keselamatan negara. Perdana Menteri itu juga mengugut akan menahan Anwar dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri.
“AMK memberi peringatan keras kepada Abdullah agar tidak menjerumuskan negara ini ke kancah kekacauan dengan membuat lebih banyak tangkapan-tangkapan tanpa bicara atau tindakan-tindakan lain yang boleh menjejaskan keharmonian dan kestabilan negara,” tamhbahnya lagi.
Menurut Shamsul lagi, AMK menggesa Abdullah untuk meminta Yang DiPertua Dewan Rakyat memanggil segera sidang khas Dewan Rakyat bagi membolehkan BN membentangkan usul yakin (motion of confidence) kepada Abdullah untuk terus menjadi Perdana Menteri.

“Sekiranya Abdullah mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat, maka ia akan menstabilkan keadaan negara. Jika sebaliknya, maka Anwar Ibrahim akan dapat membentuk kerajaan baru dengan aman. Bagaimana sekalipun keputusannya, negara dan rakyat yang akan mendapat manfaat,” katanya lagi.

Berikan Pendapat Anda

Jika anda ingin menyuarakan sebarang komen, aduan, cadangan, pendapat, rencana atau sebagainya, sila hantarkan e-mel kepada kami. Sertakan bersama nama, nama pena, alamat, no. kad pengenalan, dan no. telefon (maklumat anda adalah rahsia dan tidak akan disiarkan).

Artikel yang diterima dan dikemaskinikan akan dipaparkan didalam kolum Forum Pembaca.