Penderaan Wanita Penan, Wanita KeADILan kecam kementerian
Khamis, 9 Oktober 2008 • Kategori: Berita Utama, Nasional, WanitaKUALA LUMPUR, 9 OKTOBER (SK) - KETUA Wanita KeADILan, Zuraida Kamaruddin mengecam sekeras-kerasnya Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta kerajaan negeri Sarawak yang mengambil sikap sambil lewa ancaman seks yang dihadapi kaum wanita Penan di Sarawak.
Menurut Zuraida, langkah Kementerian terbabit yang akan mengambil langkah membela mangsa penderaan seks adalah satu tindakan populis dan terlewat setelah ianya didedahkan akhbar
”
Sedangkan kes rogol wanita Penan yang berumur 12 tahun sudah pun dikesan pada tahun 1993 lagi dan laporan polis dibuat setahun kemudian (1994) tapi tiada langsung tindakan diambil,”katanya dalam satu kenyataan semalam.
Menurutnya lagi, beliau kesal dengan terhadap ancaman berkenaan, dan jelasnya, banyak kes yang terkumpul sejak dahulu dan semua yang didakwa harus dibawa ke muka pengadilan.
Jelasnya, pada tahun 2000, satu perjumpaan diadakan oleh beberapa Tuai Rumah dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) bersama dengan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).
“Laporan telah dibuat (oleh Suhakam) tetapi tiada tindakan lanjut diambil selepas itu (perjumpaan terbabit),” katanya lagi.
Pada tahun 2008 pula, seramai 11 wanita Penan telah dikenalpasti dirogol oleh pembalak di Baram, walaubagaimanapun menurut Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang, tiada suratkhabar tempatan yang berani menerbitkan kes tersebut kerana ada ‘tangan-tangan tertentu’ yang menghalang.
Ancaman seks di kawasan ini berlaku akibat masalah yang dihadapi oleh pelajar-pelajar yang terpaksa berjalan jauh ke sekolah.
Hanya terdapat dua buah sekolah di kawasan Baram, iaitu di Long San dan Song Lama, dan ada pelajar yang ‘termakan budi’ kerana menumpang pembalak-pembalak.
“Ada juga pembalak yang memberi jaminan bahawa mereka akan berkahwin dengan orang Penan tetapi tidak menunaikan janji selepas itu,” katanya lagi.
Tambahnya lagi, Wanita KeADILan menuntut agar mereka yang terlibat dibawa ke muka pengadilan secepat mungkin sebelum ramai lagi wanita Penan yang menjadi mangsa penderaan seks.
Berikan Pendapat Anda
SMS
RSS
