Pengurus Besar PKNS: Perlantikan bersifat sementara - MB

Tuesday, 28 October 2008 • Kategori: Berita Semasa, Berita Utama, Selangor & Putrajaya

SHAH ALAM, 27 Oktober - Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menjelaskan pelantikan Low Siew Moi sebagai pemangku pengurus besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) adalah bersifat sementara sehingga calon yang sesuai dilantik.

Low, yang sudah berkhidmat selama 35 tahun di PKNS dengan jawatan terakhirnya Timbalan Pengurus Korporat dan Akaun dilanjutkan tarikh persaraannya setahun lagi.

Pengurus Besar terdahulu, Dato’ Harun Salim bersara hujung Oktober ini.

Dato’ Menteri Besar berkata pada masa sama Lembaga Pengarah PKNS berusaha mendapatkan pengurus besar yang berkaliber, berwibawa, beretika dan berkebolehan untuk membawa perbadanan itu ke era baru.

“Dalam hal ini, Puan Low mengakui agar peneraju PKNS yang baru mestilah seorang bumiputera yang profesional dan mempunyai pengalaman dalam pembangunan hartanah, pembangunan semula dan disegani oleh komuniti hartanah,” katanya ketika bercakap kepada pemberita selepas merasmikan i-City International Park dan kemudahan jalur lebar gentian optik berkelajuan 20 Megabit sesaat (20 Mbps).

Abdul Khalid berkata pengalaman Low amat berguna bagi membantu kerajaan negeri melaksanakan penyusunan semula dalam operasi dan aktiviti PKNS yang bukan sahaja beraspirasi untuk menjadi organisasi yang terbaik di rantau ini, tetapi juga dalam usahanya memulakan projek pembangunan semula perumahan baru di Petaling Jaya, Kajang dan Klang.

Jelas Abdul Khalid lagi, pencarian calon pengurus besar di kalangan pegawai kanan yang sedang berkhidmat di PKNS sudah diusahakan.

“Namun, ada beberapa sebab tentang perlunya juga kita mencari calon di luar PKNS. Antara sebabnya, PKNS berkehendakkan pegawai yang profesional dalam aspek hartanah, di samping mempunyai kelayakan dalam bidang pengurusan hartanah, kejuruteraan, seni bina atau jurunilai untuk mengetuai PKNS memulakan projek pembangunan semula,” katanya.

Beliau turut menyatakan rasa kesal apabila mendapati pengalaman PKNS dalam usaha memartabatkan kaum Melayu dalam bidang perniagaan khususnya pembangunan hartanah tidak membanggakan.

“Ini disebabkan lebih 75 peratus daripada projek yang dilaksanakan diberi kepada syarikat bukan Melayu baik secara langsung mahupun tidak langsung,” katanya.

Abdul Khalid berkata kerajaan Pakatan Rakyat amat mementingkan pentadbiran secara telus dan bertanggungjawab serta berpendapat PKNS perlu mengubah corak pentadbiran supaya menghayati dan melaksanakan kepentingan itu.

“Sesungguhnya tindakan yang radikal perlu dilakukan bagi ‘membersihkan’ PKNS supaya ia betul-betul mencapai matlamat asal untuk memberi fokus kepada perniagaan pembangunan hartanah yang diceburi selain meningkatkan sosio-ekonomi masyarakat terutama masyarakat Melayu yang mahu bekerja keras dan berusaha tanpa ihsan daripada mana-mana pihak,” katanya.