Abdullah Sani kecewa Timbalan Menteri tidak jawab soalan, cadangkan tabung jaminan untuk pekerja

Isnin, 17 November 2008 • Kategori: Berita Semasa, Berita Utama, Parlimen

PARLIMEN, 17 NOVEMBER (SK)- Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani Abdul Hamid kecewa dengan tindakan Timbalan Menteri Sumber Manusia Noraini Ahmad yang tidak menjawab soalan beliau ketika di Dewan Rakyat.

Ketika mengajukan soalan di Parlimen berkenaan dengan tindakan-tindakan pihak Kementerian untuk memastikan pelabur-pelabur, khususnya di sektor perkilangan bertanggungjawab kepada pekerja sekiranya berlaku penamatan operasi kilang tersebut.

“Soalan saya (ialah) memohon agar diperjelaskan tindakan kerajaan bagi menghadapi tahun 2009 bilamana nanti banyak majikan yang akan gulung tikar dan pampasan kepada pekerja mungkin tidak dibayar.   Timbalan Menteri hanya menerangkan penyelesaian di pihak pekerja…yang memberi peluang kepada mereka dari sudut meningkatkan pengetahuan teknikal…itu saja”, kata beliau.

Ahli Parlimen Kuala Langat itu menyifatkan kerajaan BN tidak mempunyai garis panduan yang konkrit untuk menjamin kebajikan dan kemaslahatan pekerja.

Jika berterusan berlaku para pekerja yang diberhentikan tidak dibayar pampasan, ia boleh dianggap sebagai memperlekehkan Akta Pekerja 1955.   Seksyen 60(j) Akta tersebut menetapkan hukuman bagi para majikan yang gagal membayar pampasan kepada pekerja mereka.

Abdullah Sani turut mendakwa bahawa kerajaan tidak mempunyai persiapan atau pelan tindakan bagi memelihara kebajikan dan kepentingan pekerja yang selama ini telah bertungkus lumus membangun dan memajukan negara Malaysia.

Beliau mencadangkan, sebagai langkah cermat pihak kerajaan, diwujudkan simpanan sebanyak 10% daripada wang pelaburan asal sebagai jaminan untuk para pekerja.

“Jika berlaku majikan bersikap tidak bertanggungjawab, maka wang simpanan berkenaan boleh digunakan untuk membayar gaji dan pampasan pekerja,” katanya.

Sewajarnya juga pihak kerajaan menggalakkan sejenis tabungan, Retrenchment Fund, yang mengandungi sumbangan pekerja, majikan dan kerajaan dengan RM1 dari setiap pihak.

“Dengan jumlah pekerja seramai 11.3 juta orang, RM3 sebulan boleh mengumpul sebanyak RM4 bilion dalam masa 10 tahun.   Tentunya dana yang sedemikian boleh menbantu menjamin kebajikan para pekerja yang menghadapi kesukaran secara mendadak kerana gelagat majikan yang hanya mementingkan diri,” tambahnya lagi

Beliau menyatakan kehairanannya kenapa Kerajaan BN tidak berminat untuk membincangkan cadangan yang sedemikian.

Berikan Pendapat Anda

Jika anda ingin menyuarakan sebarang komen, aduan, cadangan, pendapat, rencana atau sebagainya, sila hantarkan e-mel kepada kami. Sertakan bersama nama, nama pena, alamat, no. kad pengenalan, dan no. telefon (maklumat anda adalah rahsia dan tidak akan disiarkan).

Artikel yang diterima dan dikemaskinikan akan dipaparkan didalam kolum Forum Pembaca.