Jumaat, 22 Ogos 2008
  

Susulan Kenaikan Harga Minyak, Serahkan Kepimpinan Malaysia Kepada Anwar Ibrahim

Ahad, 8 Jun 2008 • Kategori: Angkatan Muda

Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia bertegas menggesa kerajaan supaya tidak menaikkan harga petrol di Malaysia. AMK komited dengan komitmen keADILan dan rakan-rakan PR yang lain bahawa seluruh rakyat Malaysia berhak menikmati hasil bumi negara, melalui peningkatan kadar keuntungan yang diperolehi Petronas dari tahun ke tahun.

Mekanisma baru subsidi yang ditawarkan kerajaan tidak berupaya meringankan beban rakyat yang sudah terlalu mendesak akibat kenaikan harga barang keperluan asas baru-baru ini. Malah, kadar rebat yang ditawarkan hanyalah ‘gula-gula penyejuk hati’, bertujuan memujuk rakyat supaya menerima tawaran kerajaan dengan hati yang terbuka.

AMK juga berkeyakinan penuh bahawa Malaysia mempunyai kemampuan yang cukup untuk mengawal harga minyak domestik, malah AMK percaya sekiranya pengurusan syarikat minyak ini dan keuntungannya diselenggara dengan telus dan beramanah, seluruh rakyat Malaysia akan menikmati kehidupan yang lebih baik.

Malangnya, Petronas diperkudakan pimpinan tertinggi kerajaan untuk melaksanakan impian peribadi mereka, yang menjadi legasi pemerintahan masing-masing tanpa mengira samada ianya memberi impak positif atau tidak kepada rakyat terbanyak. Semasa zaman pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad, Petronas digunakan untuk membiayai projek-projek meganya seperti Putrajaya dan MSC (RM 22 bilion), KLIA ( 1.8 bilion), Litar Sepang F1 (RM 286 juta), MAS (RM 668 juta) dan banyak lagi. Keadaan lebih parah di era pemerintahan Datuk Seri Abdullah Badawi dengan perlaksanaan Koridor Ekonomi Wilayah Utara (NCER) sebanyak RM112 billion, Koridor Ekonomi Wilayah Timur (ECER) RM120 billion, dan Iskandar Malaysia sebanyak RM200 billion. Akhirnya, rakyat terbanyak tersepit dalam keghairahan pimpinan kerajaan BN mengejar impian masing-masing.

Sekiranya kerajaan tetap tidak mahu berganjak dengan keputusan ini, AMK mendesak tol di semua lebuhraya di negara ini dimansuhkan. Tindakan ini, sekurang-kurangnya akan meringankan sedikit beban yang ditanggung rakyat.

Dalam masa yang sama, kerajaan harus memikirkan secara serius satu mekanisma untuk meningkatkan purata pendapatan rakyat negara ini sekurang-kurangnya RM 1500 sebulan bagi mengimbangi kenaikan harga petrol dan kos sara hidup yang kian meningkat, agar beban kenaikan kos sara hidup yang dialami rakyat berpendapatan rendah boleh diminimakan.

AMK berpendapat bahawa kerajaan seharusnya menambahbaik sistem perkhidmatan awam terlebih dahulu sebelum membuat keputusan untuk mengurangkan subsidi. Dengan adanya jaringan sistem perkhidmatan awam yang efektif, mutu perkhidmatan yang bermutu dan kadar tambang yang kompetitif, diharap rakyat terbanyak dapat memaksimakan penggunaan alternatif tersebut untuk mengurangkan kos perjalanan. AMK terus mempersoalkan apakah kisah di sebalik peruntukan RM12billion di bawah Kumpulan Wang Amanah Pengangkutan Awam (KWAPA) yang ditubuhkan hasil penjimatan subsidi minyak ketika kerajaan menaikkan harga minyak sebanyak 30 sen sebelum ini.

Yang nyata, syarikat Scomi yang dikaitkan dengan anak lelaki tunggal Perdana Menteri, Kamaluddin Abdullah mendapat kontrak sebanyak RM44 juta untuk kerja-kerja pembersihan dan membaik pulih bas Rapid KL serta membuat 70 unit bas Rapid Penang untuk Syarikat Prasarana Nasional Bhd. Syarikat tersebut juga telah dianugerahkan tender untuk projek pembinaan monorel Pulau Pinang yang bernilai RM 3.4 billion melalui Malaysian Resources Corporation Bhd. (MRCB).

Sebagai membuktikan ketelusan kerajaan, Abdullah digesa membentangkan penyata akaun Petronas supaya rakyat dapat memantau bagaimana keuntungan syarikat petroleum negara itu diurustadbir oleh kerajaan sekarang, sekaligus menilai kemampuan mengurus secara telus serta kepedulian kerajaan terhadap kebajikan rakyat di negara ini.

Paling penting,sekiranya kerajaan BN pimpinan Abdullah Badawi dan Najib Tun Razak gagal merealisasikan penurunan harga petrol dan diesel ini, AMK menggesa supaya tanggungjawab ini diserahkan kepada yang pakar dan berkebolehan, tak lain tak bukan Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan rakan-rakan Pakatan Rakyat yang lain.

Hasmuzair Hassan
Exco
merangkap Timb Pengerusi Biro Hal Ehwal Kepenggunaan
Angkatan Muda Keadilan Malaysia

Berikan Pendapat Anda

Jika anda ingin menyuarakan sebarang komen, aduan, cadangan, pendapat, rencana atau sebagainya, sila hantarkan e-mel kepada kami. Sertakan bersama nama, nama pena, alamat, no. kad pengenalan, dan no. telefon (maklumat anda adalah rahsia dan tidak akan disiarkan).

Artikel yang diterima dan dikemaskinikan akan dipaparkan didalam kolum Forum Pembaca.